Header Ads

UMNO Ibarat Satu ‘Nyawa’, Denyut Nadi Kepada Orang Melayu – Jais


KLUANG, 12 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday hari ini mengibaratkan UMNO ini sebagai sebuah ‘nyawa’, UMNO adalah denyut nadi dan nyawa kepada orang Melayu. Terhentinya denyut nadi ini, maka hilanglah nyawa.


“Seandainya terhenti denyut nadi dan hilangnya UMNO, maka akan mati dan lenyaplah Melayu di bumi ini. Kalau ada pun yang masih berdiri, mungkin ia hanyalah tunggul yang hanya akan menurut kemahuan orang lain, kerana Melayu sudah tidak berkuasa lagi.


Melayu hebat…! Kenapa Melayu hebat..? Melayu hebat kerana UMNOlah jantung dan nyawanya. UMNO lah yang menjadi payung dan memayungi orang Melayu. UMNO lah yang mengikat sillaturrahim dan perpaduan sesama kita.


Sebab itu, UMNO dan Melayu tak dapat dipisahkan. Marahlah kepada kepimpinan UMNO, jauh disudut hatinya sayang kepada UMNO. Bila marahnya hilang, sebahagian mereka pulang kepada UMNO,” ujarnya ketia berucap di Majlis Perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Kluang hari ini di sini.


Ujarnya yang juga Setiausaha UMNO Negeri Johor, pada hari ini apabila UMNO menjangkau usia 71 tahun, ada orang Melayu yang tidak merasai UMNO sebagai jantungnya. UMNO tidak meresap dalam hidupnya. Anak-anak muda yang belajar di institusi pengajian tinggi meminjam dengan MARA dan institusi pinjaman pendidikan Melayu lain, tidak merasa ini adalah hasil perjuangan UMNO.


Ada orang yang pergi haji, tidak merasai yang Tabung Haji itu usaha UMNO. Ibu-ibu mengandung yang dapat suntikan percuma pun tak merasai itu kasih sayang UMNO. Begitu juga dengan ibubapa, yang anaknya mendapat pendidikan dan buku percuma di sekolah.


“Kenapa begitu..? Ia jadi begini kerana telah berlaku perubahan dalam institusi masyarakat. Ia begini kerana semuanya adalah berkisar dengan soal kehidupan.


UMNO sudah tidak lagi boleh mendendangkan sejarah silam, cerita-cerita perjuangan Dato’ Onn menentang Malayan Union. Orang tidak mahu mendengar lagi soal jerih payah orang dulu memperjuangkan kemerdekaan, kerana hari ini mereka jerih payahnya berbeza. Jerih payah mereka adalah untuk kelangsungan hidup.


Istilah perjuangan rakyat pada hari ini, bukan lagi soal kemerdekaan dan membangunkan Negara. Perjuangan rakyat adalah soal kelangsungan dan kesejahteraan hidup.


Jadi bagaimana untuk kita mengembalikan roh perjuangan UMNO, supaya UMNO ini menjadi payung yang mengikat sillaturrahim kita, supaya denyutnya bergetar di setiap bangsa Melayu,” tambahnya lagi.


UMNO Bahagian Kluang turut memohon pertimbangan kepimpinan di peringkat tertinggi agar pertamanya; bawalah UMNO ini seikhlasnya di landasan yang seiring dengan denyut nadi rakyat. Perjuangan kita mestilah perjuangan yang berlandaskan kepada soal mensejahterakan kehidupan rakyat.


Soal kehidupan yang bermula alam remaja, alam percintaan, kemudian masuk ke alam perkahwinn dan membina keluarga, alam pekerjaan, alam dewasa, alam warga emas dan seterusnya persiapan kepada alam kematian. Semua di setiap rantaian kehidupan ini, ada kesenggangan.


UMNO mestilah people centric, mestilah bangkit untuk menentukan dasar-dasar yang menyentuh hati rakyat. UMNO tidak boleh hanya sekadar membuaikan perasaan orang Melayu dengan ketakutan dan UMNO mestilah menterjemahkan kehidupan rakyat yang sejahtera.


“Kedunya, rencanakanlah supaya UMNO dapat memberi pencerahan kepada masa hadapan. UMNO Johor pernah menyatakan bahawa kita mestilah mampu untuk memberikan tawaran baru kepada generasi akan datang. Orang susah hendak memastikan masa hadapan anak-anak mereka terjamin.


Orang yang telah hidup senang hendak memastikan kesejahteraannya berkekalan. Orang muda mempunyai pelbagai impian, yang pandai mengimpikan kemewahan, yang kurang pandai pastinya tidak mahu ketinggalan. Yang di desa, mengimpikan pembangunan, yang di kota bimbangkan soal keselamatan. Yang belajar di institusi pengajian tinggi, tidak mahu berhutang, yang berniaga impikan keuntungan,” tambahnya lagi.


Sehubungan dengan itu, UMNO kena bingkas untuk melakarkan harapan untuk masa hadapan. UMNO tidak boleh retorik lagi dengan khayalan yang di awangan. UMNO tidak boleh lagi menuturkan kata-kata yang sekadar memuji-muji, apatah lagi mengeji sesame sendiri.


“UMNO juga bukan lagi legasi, UMNO mestilah berintegriti, saintifik dan kontemporari,” tambahnya lagi.

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.